Thursday, December 8, 2011

Tak kenal, maka tak cinta



Kepadamu kukirimkan salam terindah

Salam sejahtera para penghuni syurga

Salam yang harumnya melebihi kasturi

Sejuknya melebihi embun pagi

Salam hangat sehangat sinar mentari waktu dhuha

Salam suci air telaga kautsar yang jika direguk akan menghilangkan dahaga selamanya

Salam penghormatan yang tiada pernah pudar dan berubah dalam segala

Musim dan Peristiwa..


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!! Tujuh tinta lautan sekalipun masih tidak mampu menjadi tinta untuk menulis pujian yang selayaknya bagi Allah SWT. Dialah sumber kekuatan, sumber pergantungan, sumber rezeki, sumber kecintaan dan sumber perundangan. Hidup dan mati hanya untuknya semata-mata. Selawat dan salam buat Rasulullah SAW, para sahabat dan pewaris perjuangan Baginda sepanjang zaman.



Saya terpanggil untuk memulakan penulisan dengan tajuk 'Tak kenal, maka tak cinta..'. Kenapa??  Sebabnya tajuk ini ada kaitan dengan taaruf. Untuk kita mencintai, kita mestilah mengenali. Mencintai di sini bukanlah cinta biasa, tetapi cinta yang disandarkan kepada Allah. Kita biasa dengar perkataan yang sentiasa bermain-main di mulut teman-teman kita iaitu 'Uhibbukifillahi' yang bermaksud 'Saya mencintai awak (perempuan) kerana Allah’. Kasih sayang yang disandarkan hanya kepada Allah.Allah berfirman :



Maksudnya : ‘Wahai manusia! Sungguh, kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti’.

 ~ Al-hujuraat, 49:13~



Sebelum kita bertaaruf, kita mengintai sejenak konsep taaruf dalam Islam. Taaruf bermaksud berkenal-kenalan antara satu sama lain. Taaruf merupakan satu ibadah. Orang yang tidak menghayati konsep ini boleh diumpamakan sebagai haiwan liar. Kenapa?? Hal ini kerana haiwan-haiwan liar akan sentiasa bermusuhan dan tidak mengenali erti persahabatan. Adakah kita ingin termasuk dalam golongan seperti itu??.. Tepuk dada, tanya Iman.



' Masalahnya, saya nak bertaaruf dengan siapa???' Itulah persoalan yang sentiasa menari-nari dibibir kita. Islam sebenarnya agama yang mudah. Islam menggalakkan kita bertaaruf dengan sesiapa sahaja, tidak mengenal usia, keturunan, warna kulit, bangsa, agama dan budaya. Tetapi kita perlu berhati-hati. Bila taaruf dikatakan beribadah, jangan pula kita berlumba-lumba untuk berkenalan dengan kaum yang berlainan jantina. Moga dijauhkan!!. Boleh dikatakan haram andainya kita berkenalan dengan seseorang yang bukan mahram. Tapi kita perlu melihat juga pada tujuan kita. Adakah untuk suka-suka ataupun adakah untuk melakukan pekerjaan??..Fikir-fikirkanlah.



Kenapa kita sibuk bertaaruf??.. Apa tujuannya??.. Islam menyuruh kita berkenal-kenalan bukan hanya untuk menambah sahabat, tetapi ingin mewujudkan semangat kerjasama antara masyarakat dan kaum berbilang bangsa, agama dan keturunan. Dengan adanya kerjasama tersebut, kita dapat hidup dalam suasana bersatu-padu, aman dan sejahtera. Selain itu, dengan bertaaruf kita dapat merealisasikan pengabdian diri kepada Allah dengan mematuhi suruhannya supaya kita berkenalan. Dengan adanya perkenalan, kita dapat saling mengenali keturunan masing-masing. Dengan itu, kita dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan dan persahabatan yang terjalin. Rasulullah menegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud :

Daripada Abu Hurairah r.a, sabda Nabi SAW : "Kenalilah nasab keturunan kamu yang membolehkan kamu mengeratkan silaturrahim. Sesungguhnya silaturrahim itu mewujudkan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga, menambahkan harta dan melewatkan ajal".



Tuntasnya, taaruf sangat penting dalam kehidupan kita. Dengan bertaaruf kita dapat mengenali dengan lebih mendalam sahabat kita. Janganlah kita memilih sahabat dengan melihat pada paras rupa dan harta mereka, tetapi lihatlah hati mereka...!! Tak kenal, maka tak cinta.

No comments:

Post a Comment