Hidayah itu milik Allah. Hanya Dia yang berhak memilih siapa yang berhak mendapat hidayah. Bersyukurlah bagi sesiapa yang diberi peluang dan kesempatan untuk merasai hidayah Allah. Tapi, siapakah kita yang merasakan bahawa hanya perlu menunggu hidayah itu datang bagai menunggu sesuatu jatuh dari langit? Hidayah perlu dicari. Untuk mendapat sesuatu, kita perlu berusaha. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
'Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah pertunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah pertunjuk kepada sesiapa yang dikehendakkiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah pertunjuk (kepada memeluk Islam).' [Al-Qasas : 56 ]
Bersyukur kerana diri ini diberi peluang untuk melihat kehebatan Allah. Jika Allah ingin memberikan hidayah, pada saat ini pun boleh. Andai dulu si dia tidak menutup aurat, tapi sekarang gelisah andai aurat tidak terjaga. Andai dulu si dia hidup terlalu sosial, tapi sekarang begitu pandai menjaga diri. Andai dulu si dia pantang dinasihati, tapi sekarang begitu mendambakan nasihat-nasihat buat bekalan diri.
Hebat, sungguh hebat hidayahNya. Begitu rugi bagi mereka yang masih setia menunggu hidayah datang tanpa melakukan sebarang usaha. Sungguh beruntung bagi mereka yang berusaha untuk menggapai hidayah Allah.
Andai kamu menjadi insan terpilih menerima hidayah Allah, bergembiralah. Bergembiralah untuk memulakan kehidupan baru. Bergembiralah untuk meninggalkan karat-karat jahiliyyah. Bergembiralah untuk menggapai mardhatillah.
Berubahlah walaupun payah. Berubahlah ke arah hidup yang lebih indah. Hidup dan masa muda sekali cuma. Sanggup nak sia-siakan tanpa redha-Nya?
No comments:
Post a Comment