Andai kita melihat bulan, pandanglah pada bintang yang bertaburan di dada langit. Jua renunglah damainya malam. Hidup ini tidak akan bererti tanpa dugaan dan rintangan. Mutiaranya adalah sabar dan keimanan yang teguh sebagai benteng untuk menangkis segalanya. Kita telah berusaha sebaiknya, tetapi penentunya Allah jua Yang Maha Mengerti. Kita merancang, Allah juga merancang, tapi Dia adalah sebaik-baik perancang.
Kita bisa mencipta impian, kita bisa membina angan-angan, tetapi selalunya kita terlupa apa sahaja boleh terjadi kerana ianya sudah tersurat. Kenyataan tetap menjadi satu kenyataan, walau bagaima pahitpun terpaksa kita terima. Ketentuan Tuhan bukanlah sesuatu yang mampu dibatasi. Bukankah sejak azali lagi ia telah disuratkan? Rezeki, ajal, maut, jodoh dan pertemuan semua milikNya. Sedaya mungkin aku cuba bersabar atas segala ketentuanNya. Biar adakalanya tercabar jua, tetap aku mengucap syukur. Setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Aku tanamkan dalam diriku.
Sejak menjejaki bumi KIPSAS, banyak yang telah aku pelajari. Belajar untuk berdikari, tabah, rasa sabar yang menggunung tinggi jadi peneman jua kasih sayang yang tertumpah buat teman-teman. Di hati ini telah terbina mutiara sejati. Tetapi sayang kerana di sini hanyalah persinggahan kita. Kita mengorak langkah bersama, bersama membawa janji yang dikota biarpun perkenalan kita sesaat cuma.
Di sini antara mekar jambangan, aku merasakan waktu belum mampu memisahkan jarak ingatan dan perjalanan panjang. Biarpun dalam kubur, namun yang girang di tengah hujan adalah kita berlari-larian dan basah bersama. Di sini kita mengenal erti persahabatan sebenar. Kita lebih mengenali erti kehidupan dan kepayahan. Bumi KIPSAS bisa menjadi koleksi memori indah buat kita. Di sini antara merdu siulan. Aku merasakan perlu sesekali mengutip kemesraan kecil demi menghangatkan erti sebuah persahabatan yang telah terabadi di sini.
No comments:
Post a Comment